ukiran kayu
Pengenalan
Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan 
yang telah lama wujud di kalangan masyarakat
Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu,
masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta
masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang 
dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama 
seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza 
dari segi cara dan teknik pengukirannya. 
Seni ini begitu berkembang luas kerana 
Malaysia merupakan sebuah negara yang 
mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak 
di mana terdapat kira-kira 3000 spesis 
kayu-kayan di negara kita. Di samping itu 
juga, kayu adalah bahan alam yang sangat 
sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan 
kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan 
ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat 
Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat 
Orang Asli.
Sejarah Ukiran Kayu Melayu
|  | 
| Ukiran kayu berbentuk   wau | 
Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi 
Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir 
di Tanah Melayu banyak terdapat dalam 
catatan-catatan sejarah iaitu dalam 
Sejarah Melayu di mana dikatakan seni 
ukiran Melayu tradisi telah ada sejak 
lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, 
orang-orang Melayu sudah memberi perhatian 
yang istimewa terhadap seni ukiran pada 
bangunan seperti istana dan rumah kediaman. 
Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan 
peranan penting dalam memperkembang dan 
menghidupkan suasana seni ukiran. 
Hingga kini peninggalan istana-istana 
lama memperlihatkan betapa indah dan 
uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan 
pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung 
Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang 
Melayu paling ketara pada binaan rumah 
tradisional terutama di Kelantan, Melaka 
dan Negeri Sembilan.
Teknik dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan 
berbagai-bagai teknik dan penggunaan 
satu-satu teknik itu banyak bergantung 
pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. 
Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni 
ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk 
separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran 
juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, 
lengkap dan pemidang
Bentuk Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, 
dan tidak terikat, berkait atau 
bersambung-sambung. Biasanya bentuk 
ini menampilkan motif bulan, bintang, 
matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.
Bentuk Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan 
pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. 
Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.
|  | 
| Ukiran patung kayu | 
Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk 
ini diberi nama-nama yang menarik seperti 
itik pulang petang, badak mudik, setampuk 
manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk 
pemidang digunakan untuk jala-jala rumah 
serta benda-benda yang terdapat di dalam 
rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang 
kayu.
Bentuk Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk 
bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini 
menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, 
merangkumi akar, batang, buah, dahan, 
daun, putik dan sulurnya.
Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran 
adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi 
dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu 
orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;
Motif makhluk halus, contohnya ayam, badak 
dan itik (ayam berlaga, badak mudik 
dan itik pulang petang)
Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan 
gambaran awan larat seperti bintang, matahari, 
bulan dan bukit bukau
Motif Geometri menampilkan bentuk 
bulatan dan bentuk segitiga yang 
disusun berderet. Kadangkala bentuk 
segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur 
tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat 
pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak
sirih dan barang-barang tembaga.
Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan 
huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan 
tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di 
ambang pintu rumah, masjid dan surau serta 
pada alat-alat keagamaan seperti rehal.
Mengukir kayu (khat)
|  | |
|  |  | 
Penggunaan
Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu 
bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi 
penjelmaan dan penerapannya terdapat pada 
istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, 
surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan 
masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot 
seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala 
perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, 
peralatan memasak, peralatan pertukangan dan 
pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda 
dan kereta lembu
